fbpx
Khairul Azhar (kiri) memeriksa mayat migran yang akan dipindahkan ke HSB, Alor Setar hari ini.

[VIDEO] 12 mayat migran dipindahkan ke HSB untuk bedah siasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Sebanyak 12 mayat migran yang ditemui hanyut di perairan ini susulan insiden bot karam di sempadan perairan Malaysia-Thailand dipindahkan dari Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar hari ini.

Trak polis membawa kesemua mayat terdiri daripada 10 lelaki serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan itu tiba di Jeti Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut dari HSM kira-kira pukul 7.20 pagi tadi.

Anggota polis kemudian memindahkan semua mayat tersebut ke bot PLC 5 untuk dibawa ke Kuala Perlis sebelum dihantar ke HSB.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, proses bedah siasat ke atas semua mayat akan dilakukan di HSB.

“Sebanyak 16 mayat telah selesai dilakukan bedah siasat dan baki 12 mayat ini lagi dijangka dilakukan pada hari ini dan esok. Tiada lagi mayat migran terlibat di HSM,” katanya ketika ditemui di Jeti APMM Bukit Malut di sini hari ini.

Kata beliau, satu mesyuarat akan diadakan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) untuk berbincang mengenai urusan pengebumian jenazah mangsa.

Sementara itu, katanya, seramai 14 lagi migran yang ditemui terselamat masih dalam tahanan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Setakat ini, sebanyak 42 migran ditemui hanyut di perairan ini dengan 28 daripadanya sudah meninggal dunia.

Mangsa yang maut terdiri daripada 14 lelaki dan sembilan wanita serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Seramai 14 mangsa yang dijumpai hidup terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.

Kesemua migran terdiri daripada etnik Rohingya warga Myanmar dan warga Bangladesh itu dikatakan berlayar dengan sebuah bot induk bersama 300 orang dalam masa kira-kira dua minggu sebelum dipindahkan ke bot lebih kecil.

Bot kecil yang membawa kira-kira 70 migran itu kemudian dikatakan karam dekat Pulau Tarutao, Thailand dengan mayat hanyut ke perairan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI