KUALA LUMPUR – “Ya, kalau yang tahu, tahu lah.
Demikian jawapan usahawan selebriti Datuk Seri Vida berhubung dakwaan berterbangan pekerjanya merupakan individu yang membeli barangan lelong dari kediaman mewah miliknya baru-baru ini.
Pemilik nama lengkap Hasmiza Othman, 54, menjelaskan bahawa tindakan tersebut diambil demi menjaga harta dan barangan miliknya yang memiliki nilai sentimental serta kepentingan peribadi.
“Apa pun saya perlu selamatkan aset saya yang saya beli dengan wang titik peluh saya. Kalau tak tahu, perlu tahu benda begini. Mereka selalu tengok orang itu dengan saya selalu.
“Ada nilai ‘signature’ pada produk (barangan) itu.
“Orang kata ‘clear’ (habiskan) dan beli lain tetapi waktu ini saya pertahankan nilai sentimental,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan perdana filem Penghukum: Nusantara Asassin, semalam.
Pada masa sama, pelantun lagu I Am Me itu kesal apabila terpaksa melalui ujian berikut terutama sekali apabila mengenangkan usaha dan penat lelahnya selama ini.
“Sedih sebab berjuta-juta duit saya sebab saya berusaha buat jualan, malam-malam buat siaran langsung.
“Kalau tak cukup, kita cari cara lain, tak cukup Malaysia, saya ke pergi Singapura, tak cukup Singapura, pergi pula ke Brunei. Kita lalui semuanya,” ujarnya.
Bagaimanapun, usahawan asal Kelantan itu enggan larut dalam kesedihan dan percaya di sebalik ujian tersebut Allah menyediakan sesuatu yang lebih baik buat dirinya.
“Saya rasa Tuhan menguji untuk menyediakan saya sesuatu yang lebih baik untuk saya.
“Saya yakin kalau Tuhan ambil dari situ, dia mungkin bagi saya lebih lagi di kemudian hari. Malah saya dah dapat pun dalam bentuk lain.
“Kalau duit itu sah, halal dan baik akan kembali kepada saya. Saya reda walau apa cabaran saya terima. Insya-Allah, di sebalik ribut dan taufan, pelangi akan bersinar,” katanya.
Sebelum ini, 727 barangan peribadi Vida termasuk Toyota Vellfire, Toyota Grand Hi-Ace dan BMW X7 dilelong dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah RM1 juta hasil bidaan tertinggi.
Proses lelongan yang berlangsung di kediaman Vida di Meru Heights, Perak itu bermula sekitar pukul 10.30 pagi melibatkan dua pembida.
Lelongan berkenaan berakhir dengan seorang pembida berjaya memperoleh kesemua barangan yang disenaraikan dalam Notis Pengisytiharan Jualan Lelong selepas seorang pembida menarik diri.
Jualan lelong tersebut merupakan sebahagian daripada usaha penyelesaian hutang dan pengurusan semula aset peribadinya, selepas beberapa siri tuntutan mahkamah dan isu projek tergendala sejak beberapa tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














