MUNICH – Aksi antarabangsa diharapkan mampu mengembalikan sentuhan berbisa pemain tengah Jerman, Florian Wirtz yang dianggap semakin ‘berkarat’ selepas menyertai Liverpool pada jendela perpindahan musim panas.
Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann berharap pemain berusia 22 tahun itu akan mendapatkan semula keyakinan ketika membantu Die Mannschaft pada dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 minggu ini.
Jerman menggalas misi wajib menang menjelang pertemuan menentang Luxembourg di Stadium Luxembourg awal pagi esok bagi terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Kumpulan A dan layak secara automatik.
“Bagi saya, dia sentiasa bermain cukup baik dan mencipta banyak peluang, tetapi mereka (pemain Liverpool) gagal memanfaatkannya. Sebab itu saya minta semua pihak untuk terus berikan sokongan kepadanya.
“Dia perlu bermain lebih tenang dan jangan terlalu fikirkan jangkaan yang diletakkan kepada dirinya. Saya harap dia boleh jadikan aksi antarabangsa ini sebagai medan mengembalikan semangat,” kata Nagelsmann.
Pada masa sama, beliau menganggap bekas pemain Bayer Leverkusen itu berada pada fasa cukup penting dalam karier, lebih-lebih lagi menyertai salah sebuah pasukan terbesar dunia di usia cukup muda.
“Perubahan seperti ini adalah perkara biasa buat pemain yang usia seperti Flo (Wirtz). Saya tahu kemampuan dirinya dan sebab itulah saya memanggil dia untuk membantu Jerman dalam aksi kelayakan,” ujarnya. – AGENSI















