PETALING JAYA – Seorang wanita berang selepas ibu mentuanya menyindir suaminya menjadi ‘pak turut’ apabila membantu menyelesaikan kerja-kerja rumah.
Menerusi hantaran di laman Facebook, ibu mentuanya dikatakan mengeluarkan kata-kata itu selepas melihat anak lelakinya membantu menguruskan anak termasuk menukar lampin dan memandikan anak.
“Ayah kau dulu, mak tak ada pun suruh buat kerja rumah macam ini. Semua mak uruskan sendiri. Kau ada tujuh adik-beradik, semua mak urus sendiri.
“Tak ada pun mak kejut ayah kau bangun tidur untuk tukar lampin bayi. Mak tengok kamu macam pak turut. Ikutkan saja semua isteri cakap, macam kena buli,” ujarnya.
Menurut hantaran berkenaan, lelaki itu kemudian mempertahankan isteri dengan menyatakan hari minggu adalah gilirannya menguruskan anak.
Tidak tahan disindir, wanita itu kemudian mempersoalkan tindakan ibu mentuanya yang menganggap semua urusan rumah perlu dilaksanakan oleh isteri berbanding suami.
“Mak kalau datang rumah menantu, memang untuk cari kesalahan ke? Menantu mak yang lain mungkin boleh diam tapi saya tidak,” tegasnya.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang turut berang dengan tindakan ibu mentua.
“Nasib suami itu tahu tanggungjawab dia. Biar saja ibu mentua kata awak buli anak dia atau apa-apa, sekurangnya anak lelakinya faham tugas suami di rumah,” komen @Putryhidayah97
“Nasihat saya, jangan terlalu mesra atau rapat dengan ibu mentua. Nanti ibu mentua itu akan segan sendiri dengan menantu, jadi tak ada nak kata lebih-lebih selepas ini,” komen @Cikgudahtua
“Mungkin ibu mentua dengki sebab dulu dia (ibu mentua) uruskan semua sendiri, sekarang anak lelaki masing-masing sudi bantu isteri uruskan rumah dan anak,” komen @Ochee_art –KOSMO! ONLINE













