PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan lelaki dipercayai menarik kabel di tengah jalan menggunakan trak pikap menimbulkan risiko keselamatan di Kamunting, Perak, semalam.
Menerusi perkongsian hantaran di TikTok, memaparkan bahagian belakang trak pikap digunakan sehingga tayar kenderaan itu berpusing kuat akibat tekanan.
Video berdurasi 46 saat itu turut memperlihatkan trak pikap itu melibatkan sekumpulan lelaki termasuk tiga lelaki yang menjaga jalan berkenaan.
Kegiatan yang dilakukan di tengah jalan itu bukan sahaja berbahaya, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai berharap kejadian dapat disiasat bagi mengelakkan risiko kemalangan atau kerosakan infrastruktur.
“Kerajaan boleh sediakan seribu kemudahan, tapi jika rakyat sendiri tidak menghargai, semuanya akan musnah perlahan-lahan,” komen @Eaugyanniecarina.
“Di Kamunting, memang setiap hari orang tarik kabel, malah di lampu isyarat pun ada. Harap ada tindakan segera,” komen @Bellamourr.
“Selalu nampak petak lubang atas jalan tak bertutup. Risau kemalangan berlaku kalau motorsikal lalu dan tak perasan,” komen @Cerrynor.
“Di Ipoh pun banyak kali nampak geng-geng ini buat kerja pukul 4 ke 5 pagi. Tapi tak pasti orang yang sama atau tidak,” komen @Chotgod7. – KOSMO! ONLINE














