NEW DELHI – Sebuah kereta bertembung secara berdepan dengan seekor unta awal kelmarin berhampiran Kolu Pabuji di jalan Phalodi-Dechu di Jodhpur, India, lapor portal berita Gulf News hari ini.
Ia menyebabkan unta tersebut terperangkap di dalam kenderaan selama beberapa jam, lapor portal berita NDTV.
Menurut pegawai tempatan, pemandu yang dikenali sebagai Ramsingh sedang memandu apabila seekor unta liar tiba-tiba melintas jalan.
Bumper, bonet dan cermin depan kenderaan itu remuk akibat hentaman dan kuatnya pelanggaran tersebut memecahkan bumbung serta cermin hadapan, menyebabkan unta terperangkap di dalamnya.
Satu rakaman video yang tular di internet memaparkan kepala dan bahagian atas badan unta tersebut terjulur melalui cermin yang pecah ketika haiwan tersebut bergelut untuk melepaskan diri.
Penduduk tempatan bergegas ke lokasi kejadian, menarik keluar pemandu yang cedera dan memberikan rawatan kecemasan sebelum dia dibawa ke Jodhpur untuk rawatan lanjut.
Ramsingh dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Unta itu kekal terperangkap selama hampir dua jam sebelum berjaya dibebaskan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dan penduduk.
Sebuah mesin dibawa untuk memotong bahagian kenderaan bagi mengeluarkan haiwan itu dengan selamat.
Selepas dibebaskan, unta tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian dan terselamat tanpa kecederaan serius. – AGENSI















