fbpx
Tertuduh diiringi polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua muridnya. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

[VIDEO] Umpan ke rumah, guru silat didakwa ‘sentuh’ dua anak murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang guru silat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajarnya dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap salah seorang mangsa sama di atas katil rumahnya, sejak September lalu.

Tertuduh, Yusof Omar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan di hadapan Raja Noor Adilla, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan melakukan perbuatan tidak senonoh bagi tujuan seksual.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dan didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Kedua-dua perbuatan itu telah dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2 petang di atas katil di sebuah rumah di Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah, 13 September lalu.

Bagi pertuduhan di hadapan Rohatul, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi mangsa berusia 14 tahun kira-kira pukul 8 pagi di lokasi sama, 8 Oktober lalu dan didakwa di bawah AKSTK 2017.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM70,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai guru silat dengan pendapatan tidak menentu, malah tidak mencecah RM1,000 pada bulan lalu, selain menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung serta masalah saraf di kaki kiri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pendakwaan. Rohatul dan Raja Noor Adilla masing-masing menetapkan tarikh 15 dan 23 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Kosmo! pada 5 November lalu melaporkan seorang guru silat direman tujuh hari selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun selepas mengambil mangsa di rumah keluarganya di Pulau Sebang, Alor Gajah kira-kira pukul 7 malam.

Suspek kononnya ingin mengajar mangsa berlatih di gelanggang silat di Pulau Sebang, namun telah membawa remaja itu ke rumahnya di Telok Mas dengan alasan untuk mempelajari teknik tinju sebagai persediaan menyertai ujibakat Sukan Malaysia (Sukma) di Johor.

Setibanya kira-kira pukul 11 malam, mangsa tidak diajar seperti dijanjikan, sebaliknya diarahkan tidur di bilik utama sebelum suspek masuk dan berbaring di sebelahnya sehingga pagi dan melakukan perbuatan tidak senonoh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN