KANGAR – Tindakan sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan taktik menyembunyikan ketulan mampat ganja di atas pokok bakau gagal mengaburi pihak berkuasa.
Dalam operasi pada 24 Oktober lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menemui dan merampas 41.50 kilogram (kg) ganja bernilai RM378,000 di perairan Pulau Ketam, yang juga pintu masuk perairan Kuala Perlis.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, dalam operasi pada pukul 1.30 pagi itu, pasukan operasi membuat pemeriksaan di kawasan pokok bakau dan menemui dua guni putih serta satu bungkusan plastik.
“Kesemua bungkusan itu ditinggalkan di atas pokok dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan rapi mendapati terdapat 39 ketulan mampat dan 12 bungkusan plastik kedap udara berisi tumbuhan kering dipercayai dadah jenis kanabis.
“Kita percaya sindiket ini menggunakan modus operandi meninggalkan bungkusan berisi dadah di kawasan pokok bakau sebelum ia diambil individu lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM negeri di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi berasingan pada 28 Oktober lalu, pasukan Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis membuat serbuan di kawasan jeti persendirian.
Tambahnya, pemeriksaan rapi mendapati 50 ketulan mampat disyaki kanabis dengan berat keseluruhan 50 kg bernilai RM155,000. – KOSMO! ONLINE













