fbpx
Fahmi mengulas mengenai kes dakwaan seorang wanita mempunyai dua orang suami dalam satu masa.

Rendah sangatkah nilai wanita sanggup kahwin lari, bersuami dua?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu wanita memiliki dua suami bukan lagi sesuatu yang baharu, sebaliknya semakin kerap berlaku apabila pernikahan di sempadan Thailand dibuat tanpa semakan menyeluruh.

Peguam syarie, Fahmi Ramli menegaskan perkara itu susulan satu lagi kes yang tular di Kedah membabitkan seorang wanita didakwa mempunyai dua suami dalam satu masa.

Menurut beliau, banyak kes seumpama itu pernah ditangani oleh rakan-rakan peguam syarie lain dan semuanya berpunca daripada tindakan pasangan yang berkahwin lari di sempadan tanpa memastikan status masing-masing terlebih dahulu.
Fahmi menegaskan, pernikahan di sempadan Thailand sering dilakukan tanpa sebarang penelitian terhadap status pasangan sama ada wanita tersebut masih bergelar isteri kepada seseorang atau lelaki itu sudah pun mempunyai empat isteri.

“Haram hukumnya berkahwin dengan wanita yang masih mempunyai suami, walaupun dia dalam tempoh iddah. Begitu juga lelaki beristeri empat yang ingin berkahwin lagi tanpa menceraikan sesiapa,” katanya dalam satu perkongsiam di kumpulan Telegram.

Beliau turut mempersoalkan tindakan lelaki yang selepas pulang ke Malaysia tidak meneruskan proses pengesahan nikah di mahkamah syariah atau pejabat agama, sedangkan langkah tersebut boleh mendedahkan status masing-masing sejak awal.

Fahmi menasihatkan wanita yang memilih untuk berkahwin di sempadan supaya berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang akhirnya memalukan diri dan keluarga.

“Tolonglah jaga maruah. Rendah sangatkah nilai diri hingga membuat keputusan untuk kahwin lari di sempadan?,” tegasnya.

Tambahnya, jika seseorang wanita sudah tidak mahu meneruskan perkahwinan, perceraian secara sah di mahkamah perlu diselesaikan dahulu sebelum mencari pasangan baharu.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan mengambil pendekatan lebih ketat berhubung isu pernikahan di sempadan, sama ada melalui sekatan, prosedur tambahan atau kerjasama sistem semakan bersama majlis agama Islam di Thailand.

“Sekurang-kurangnya perlu wujud satu jaringan semakan antara Majlis Agama Islam Thailand dengan daftar perkahwinan di setiap negeri di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI