PUTATAN – Sebanyak 3,334 set borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah ke-17 sudah terjual setakat semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah itu, Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sabah merekodkan 2,414 set, manakala Pejabat Pegawai Pengurus (RO) menjual 920 set borang penamaan.
”Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan bilangan borang yang dijual akan terus bertambah ekoran masih berbaki masa sehari lagi sebelum hari penamaan calon esok,” katanya selepas meninjau raptai penuh penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Tanjung Keramat dan Tanjung Aru di Dewan Sri Putatan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya kini sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan proses penamaan calon di 73 DUN di bawah 25 parlimen di Sabah.
”Alhamdulillah….Proses persiapan penamaan calon berjalan lancar. Kita benar-benar sudah bersedia bersedialah dari segi logistik serta capaian internet dan sebagainya.
”Kita juga telah berhubung dengan semua pegawai pengurus di setiap pusat penamaan dan mereka telah diberi latihan sepenuhnya bagi memastikan proses berjalan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ramlan memaklumkan proses penamaan calon esok akan bermula pada pukul 9 hingga 10 pagi di semua PPC. – KOSMO! ONLINE














