fbpx
SKUAD karate negara laung amaran menjelang Sukan SEA Thailand 2025.

Prem Kumar intai dua emas di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jaguh karate negara, S. Prem Kumar, meletakkan sasaran tinggi menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand apabila bertekad membawa pulang dua pingat emas menerusi acara kumite individu 55 kilogram dan kumite berpasukan.

Atlet berusia 31 tahun itu menegaskan, persiapan rapi yang dijalankan bersama skuad negara sejak 12 bulan lalu menjadi sumber keyakinannya untuk kembali menyinar, sekali gus membantu memperkukuh kedudukan kontinjen Malaysia di Thailand.

“Persiapan kami berada di landasan terbaik. Hampir setahun kami berlatih untuk kejohanan ini.

“Sasaran saya? Sudah tentu mahu menang. Jika boleh, saya mahu raih kedua-dua pingat emas dalam acara individu dan berpasukan.

“Pasukan berada dalam keadaan baik, begitu juga barisan kejurulatihan dan sokongan. Semuanya sempurna, kami hanya menantikan hari pertandingan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad karate di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Pemegang dua pingat emas Sukan SEA masing-masing di Filipina 2019 dan Kemboja 2023 itu turut menyifatkan pasukan negara kini berada pada prestasi optimum dan cukup bersedia untuk memberikan saingan sengit di pentas dwitahunan tersebut yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.

Ditanya sama ada temasya di Thailand bakal menjadi penampilan terakhirnya, Prem Kumar memilih untuk tidak memikirkan terlalu jauh.

“Itu sukar nak jawab. Buat masa ini, saya tidak merancang apa-apa selepas Sukan SEA. Fokus saya hanya pada kejohanan ini, habiskan tahun ini dahulu. Tahun depan barulah ada perancangan baharu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI