KUALA LUMPUR – Impian dua saudara dari Sabah mencari rezeki di luar negara bertukar detik hitam apabila mereka menjadi antara lima rakyat Malaysia yang dipercayai terperangkap dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.
Mangsa terdiri daripada adik kandung dan anak sepupu kepada Nuraime Madsaik, kedua-duanya berusia 23 tahun yang sebelum ini dijanjikan pekerjaan bergaji lumayan di Korea Selatan dan Singapura.
Menurut Nuraime, adiknya ditawarkan kerja sektor perkapalan di Korea Selatan dengan gaji AS$8,000 (RM33,000), manakala anak sepupunya pula dijanjikan peluang bekerja di bidang perhotelan di Singapura.
“Kedua-dua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Oktober lalu selepas percaya dengan seorang rakan yang turut menunjukkan gambar kononnya sudah berada di Korea sebagai bukti.
“Minggu pertama adik saya ada hubungi keluarga dan beritahu dia okay. Tetapi apabila tunangnya teliti gambar yang dihantar, rupa-rupanya itu lapangan terbang di Kemboja,” katanya ketika sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dekat sini.
Menurutnya, pada minggu kedua, adik kandungnya mengakui mereka sebenarnya berada di Kemboja dan kini tidak dibenarkan pulang melainkan keluarga membayar RM65,000 sebagai wang tebusan.
“Kami panik dan buntu. Mereka cuma mahu bekerja mereka ada cita-cita sebab masih lagi muda, tapi akhirnya terperangkap,” jelasnya sebak.
Susulan itu, keluarga telah membuat dua laporan polis satu di Sabah dan satu di Selangor pada 11 November 2025 bagi memohon bantuan menyelamatkan kesemua mangsa.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung lima mangsa yang dipercayai ditahan oleh sindiket sama di Kemboja.
“Kami akan cuba sedaya upaya membantu kesemua mangsa. Kami tidak benarkan keluarga membayar wang tebusan yang diminta kerana itu akan menguatkan lagi sindiket.
“Kami sedang berhubung dengan semua pihak berkepentingan dan berharap kes ini dapat diselesaikan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE














