ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menegaskan tiada kes wanita berkahwin dua seperti ditularkan di media sosial sejak kelmarin sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Abd. Ghani Zainuddin berkata, tidak timbul isu wanita berpoligami kerana perkahwinan pertamanya sudah terbubar secara rasmi sebelum berkahwin kali kedua.
“Namun begitu, isu yang menjadi perhatian adalah tindakan wanita tersebut masih tinggal sebumbung dengan bekas suami tanpa ikatan pernikahan yang sah selepas berlakunya perceraian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, kata beliau, JHEAIK kini menjalankan siasatan ke atas wanita berkenaan dan dua lelaki yang dikaitkan dengan di atas tiga kesalahan syariah negeri ini.
“Siasatan turut dijalankan ke atas dua lelaki yang dikaitkan dengan wanita berkenaan. Siasatan awal mendapati wanita berkenaan sudah bercerai, namun masih menjalinkan hubungan dengan bekas suaminya itu. Tidak timbul isu kahwin dua dalam hal ini.
“Bagi kes itu wanita berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2024 (Khalwat),” katanya.
Beliau menambah, wanita berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 (Menghina atau menyebab dipandang hina dll agama Islam).
“Kita juga menjalankan siasatan ke atas wanita berkenaan dan suaminya di bawah Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 berkaitan kesalahan berhubungan secara akad nikah yang dibaca bersama Seksyen 14 enakmen sama berkaitan perkahwinan seseorang perempuan,” jelasnya.
Akhbar ini melaporkan seorang lelaki mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan selepas wanita dikahwini rupa-rupanya masih bergelar isteri orang. – KOSMO! ONLINE














