fbpx
Armizan pada sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Mesyuarat pertama isu hak tuntutan 40 peratus Sabah Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mesyuarat pertama berkaitan isu hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah akan diadakan pada Isnin depan di Menara Kinabalu, Sabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, rundingan itu akan dimulakan di peringkat pegawai kerajaan dengan diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican bagi pihak kerajaan Persekutuan.

Katanya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong mewakili kerajaan negeri.
“Perbincangan pertama akan diadakan pada Isnin depan dan ini menunjukkan keseriusan kerajaan Persekutuan untuk kita melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Kerajaan Persekutuan akan diketuai oleh KSP, bagi kerajaan Sabah ia diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri memandangkan kerajaan Sabah ketika ini berada di bawah ‘caretaker’,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah bersetuju secara prinsip bahawa Armizan dilantik sebagai wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) menggantikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN