fbpx
Gambar hiasan

Lima `scammer’ warga Myanmar diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Kegiatan licik sindiket penipuan menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian terbongkar apabila polis menggempur markas operasi kegiatan haram tersebut di sebuah premis di Gelang Patah, di sini, Rabu lalu.

Serbuan khas itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama JSJK Kontinjen Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, hasil risikan mendapati premis tersebut dijadikan ‘markas operasi’ untuk memperdaya warga Myanmar dengan tawaran kerja palsu di media sosial.

“Dalam serbuan itu, lima lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 29 tahun diberkas kerana dipercayai menjadi dalang utama sindiket penipuan terbabit.

“Mereka dipercayai menjalankan modus operandi dengan memancing mangsa melalui aplikasi WhatsApp sebelum meminta bayaran pendahuluan konon bagi proses pengesahan kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumarasan berkata, sindiket tersebut beroperasi secara terancang dan menyasarkan mangsa dari negara asal mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah telefon bimbit, komputer riba, tablet serta wang tunai yang digunakan untuk mengurus komunikasi penipuan.

Kata beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan berkomplot melakukan jenayah.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI