IPOH – Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Perpaduan Ria, Ulu Kinta dekat Tambun hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, ketika jentera bersama anggota tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan kediaman tersebut terbakar kira-kira 80 peratus.
“Setelah operasi pemadaman selesai dilakukan, anggota bomba yang membuat pemeriksaan menemui seorang lelaki berusia 80 tahun yang mati terbakar di atas lantai dalam bilik kedua rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah Proton Iswara Aeroback, sebuah Perodua Viva dan sebuah motosikal, manakala empat rumah berhampiran serta sebuah kereta Perodua Myvi turut mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE















