SHAH ALAM – Pemaju Melati Ehsan Consolidated Sdn. Bhd. (MECSB) bersedia menyerahkan 2.8 hektar tanah bagi pembangunan penempatan semula penduduk Kampung Papan, Pandamaran di Klang.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, kesediaan tersebut dimaklumkan melalui peguam pemaju, termasuk beberapa lot di Jalan Papan dan Jalan Kerayong yang dicadangkan sebagai tapak pemindahan rumah ibadat.
“Dengan tanah seluas 2.8 hektar itu, kerajaan negeri kini boleh merangka pembangunan pangsapuri kediaman untuk peneroka yang terlibat.
“Kerajaan negeri juga bersedia menawarkan penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa kepada mereka yang memerlukan, dengan kadar sewa berpatutan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelas beliau, langkah itu meletakkan kerajaan negeri di landasan lebih kukuh untuk memastikan penyelesaian yang adil, terancang dan berperikemanusiaan bagi peneroka di kawasan berkenaan, selari dasar perumahan dan perancangan negeri.
Menurut Borhan, isu pengosongan dan perobohan rumah penduduk tercetus selepas tanah seluas 38.45 hektar di kawasan itu diberikan milikan kepada anak syarikat Bank Negara Malaysia (BNM), TPPT Sdn. Bhd., pada 1995.
Bagaimanapun, katanya, pada 2003, Jawatankuasa Penduduk Jalan Papan menolak tawaran rumah kos rendah yang dibuat Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika itu.
“Tahun 2008, notis perobohan dikeluarkan, namun ditangguhkan bagi memberi ruang rundingan semula antara penduduk dan pihak berkepentingan.
“Pada 2018, kerajaan negeri menetapkan supaya MECSB menyediakan komponen Rumah Selangorku sebagai sebahagian pelan penyelesaian kepada peneroka berdaftar. Beberapa siri rundingan turut dilaksanakan melibatkan kerajaan negeri, pemaju dan wakil penduduk,” jelasnya.
Tambah beliau, pada 2020, MECSB memfailkan saman pengosongan terhadap peneroka sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menawarkan rumah teres berharga RM99,000 dan Rumah Selangorku Jenis B berkeluasan 800 kaki persegi.
Namun, pada 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan perintah pengosongan (bailif execution) terhadap 48 peneroka yang hadir ke mahkamah.
Pengosongan perobohan di Kampung Papan pada minggu ini mencetuskan situasi tegang dengan 14 individu termasuk tiga wanita yang majoritinya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan sebelum dibebaskan setelah keterangan diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














