PETALING JAYA – Tindakan peniaga mencampurkan plastik pembungkus minyak terus ke dalam kuali gorengan adalah satu pengkhianatan besar kepada pelanggan.
Ini kerana kata Public Health Malaysia (PHM), plastik pembungkus minyak yang dicelup terus ke dalam kuali panas boleh menyebabkan tindak balas kimia jauh lebih serius daripada sekadar `plastik cair’.
Kata PHM, pada suhu itu, rantaian polimer yang membentuk plastik akan pecah menjadi molekul kecil seperti alkanes, alkenes, aldehydes dan ketones.
“Semua bahan ini akan larut ke dalam minyak sebelum akhirnya melekat pada makanan yang sedang digoreng.
“Pada masa yang sama, bahan pelunak plastik seperti phthalates atau adipates mula terlepas daripada permukaan plastik akibat haba tinggi.
“Bahan-bahan ini dikenali sebagai “endocrine disruptors” kerana ia boleh mengganggu sistem hormon apabila masuk ke dalam tubuh manusia,” jelas PHM.
Mengulas lanjut, PHM memberitahu, apabila plastik terurai dalam minyak panas, ia tidak hancur sepenuhnya dan akan pecah menjadi serpihan kecil yang dipanggil microplastik.
Ujar PHM, serpihan-serpihan ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh masuk ke dalam makanan, akhirnya terkumpul dalam usus, darah dan organ manusia.
“Minyak panas yang bercampur plastik juga boleh menghasilkan radikal bebas, hidrokarbon aromatik serta bahan toksik baharu yang meningkatkan risiko keradangan, penyakit hati dan masalah kesihatan jangka panjang.
“Kesimpulannya, apabila plastik masuk ke dalam minyak panas, ia berubah menjadi campuran bahan kimia berbahaya yang meresap ke dalam makanan.
“Walaupun kita tidak nampak, tubuh kita tetap menerima kesannya sedikit demi sedikit setiap kali makanan itu dimakan,” kata PHM.
Justeru, PHM berpesan sekiranya, orang ramai mempunyai maklumat tentang peniaga yang melakukan amalan itu, laporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen pada perkongsian PHM itu, ada segelintir pengguna berkongsi kisah pernah terserempak dengan peniaga yang bertindak sedemikian.
“Saya pernah nampak peniaga pisang goreng celup pembungkus plastik minyak ni. Bila nampak peniaga tu larutkan plastik tu dalam minyak panas, terus tak jadi beli pisang goreng dia walaupun sedap,” tulis Iman Fadia.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Abdul Razak Sulaiman.
“Keluarga saya pernah ‘sound’ peniaga satu gerai di Bandar Baru Bangi beberapa tahun yang lalu apabila praktis itu berlaku betul-betul di depan mata kami. Yang buat sakit hati tu, boleh dia macam buat-buat tak faham teguran kami itu” katanya. – KOSMO! ONLINE














