PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap pendekatan matang yang diambil Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam menangani isu sempadan negara itu dengan Thailand.
Menurut Anwar, beliau telah menghubungi Hun Manet bagi mendapatkan perkembangan terkini pertikaian berkenaan yang sejak kebelakangan ini menarik perhatian rantau.
Katanya, Malaysia menyokong sepenuhnya pendirian Kemboja untuk terus memilih jalan damai melalui rundingan dan dialog, selari dengan semangat Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai pada 26 Oktober 2025.
“Pendirian ini penting bagi memastikan sebarang perbezaan diselesaikan dengan tenang, tersusun dan berlandaskan persefahaman serantau,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia komited menjadi pemudah cara yang adil serta bertanggungjawab dalam membantu kedua-dua negara jiran itu mencapai penyelesaian berkekalan demi kestabilan Asia Tenggara.
Menurutnya, keamanan serantau adalah keutamaan dan Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pertikaian yang berlarutan itu dapat ditamatkan segera.- KOSMO! ONLINE.














