fbpx
Mahdzir dan Teresa.

Hormati Kedah di bawah naungan Sultan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok supaya Pulau Langkawi diserahkan kepada kerajaan Persekutuan dianggap sebagai tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan itu juga tidak sensitif dan menyinggung perasaan rakyat negeri itu.

“UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang memerintah Kedah yang menaungi segala tanah jajahan takluknya dan juga rakyat Kedah secara keseluruhannya.
“Beliau sewajarnya lebih peka dan sensitif dalam setiap apa yang hendak dibicarakan walau di mana-mana platform sekalipun di dalam Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mahdzir berkata, Teresa tidak seharusnya membuat sebarang cadangan yang menyentuh institusi berkaitan Sultan atau Raja di negara ini, lebih-lebih lagi ianya membabitkan hak milik sesuatu tanah jajahan Sultan.

“Perkara seumpama itu tidak boleh sewenang-wenangnya dibicarakan secara terbuka kerana ianya melibatkan martabat Tuanku Sultan Kedah yang menaungi tanah jajahan takluk pulau itu.

“Hal yang berkaitan tanah jajahan takluk Tuanku Sultan itu bukannya seperti urusan mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tiada pemilik, tetapi ini soal kedaulatan yang tidak ada kompromi”, katanya.

Justeru katanya, UMNO Kedah menggesa Teresa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah mengguris hati seluruh rakyat negeri Kedah.

“Isu pembangunan Pulau Langkawi boleh diselesaikan menerusi pelbagai cara lain dan bukannya secara diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Di Langkawi sudah ada agensi kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab iaitu Lembaga Pembangunan Langkawi atau LADA yang hanya perlu diperkasakan lagi peranannya untuk memajukan pelbagai potensi di pulau itu dan Langkawi tidak perlu pun diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan”, katanya.

Semalam Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS yang didakwanya gagal membangunkan Pulau Langkawi.

Beliau berkata, Langkawi yang kaya dengan potensi pelancongan sepatutnya boleh dimajukan dengan lebih baik jika diurus oleh kerajaan Persekutuan.

Teresa mencadangkan kerajaan Pusat mentadbir Pulau Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan atau atau Zon Antarabangsa bagi membolehkan pembangunan sektor pelancongannya lebih terancang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI