fbpx
Tangkap layar video Adam Alis ketika pemeriksaan polis selepas kereta dipandu rakannya dipercayai melawan arus

Hina URB: PDRM minta kerjasama Polri ambil keterangan pemain bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta kerjasama daripada Polis Republik Indonesia (Polri) bagi mendapat keterangan daripada seorang pemain sebuah kelab bola sepak Indonesia yang didakwa mengaibkan serta mengandungi tuduhan terhadap Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ini susulan pemain berkenaan telah kembali ke negara asalnya.

Katanya, setakat ini keterangan telah diambil daripada anggota URB dan rakan-rakannya.
“PDRM sedang berhubung rapat dengan rakan strategik negara tersebut untuk membantu polis lengkapkan siasatan. Ini termasuk mendapatkan kerjasama daripada Polri.

“Kita juga mempunyai wakil PDRM di kedutaan kita di negara tersebut bagi membantu mengambil keterangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik tarikh bagi mengambil keterangan itu.

“Ini kerana kita masih berhubung dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan rakan strategik di negara itu. Ia memerlukan sedikit masa,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan rakyat Malaysia mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemain bola Indonesia yang didakwa menghina anggota polis sewaktu menjalankan tugas.

Ini susulan video tular dimuat naik pemain bola tersebut, Adam Alis yang mana ketika itu dia bersama dua lagi rakannya ditahan polis selepas dikatakan memandu secara melawan arus.

Menerusi video itu, anggota keselamatan tersebut meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri termasuk pasport, namun dipercayai gagal berbuat demikian.

Anggota polis terbabit turut menegur mereka supaya membawa pasport bersama sepanjang berada di negara ini.

Bagaimanapun, video itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia apabila terdapat komen tuduhan daripada Adam Alis kepada anggota PDRM, namun sehingga kini tiada bukti dipaparkan lelaki berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI