fbpx
Dr. Zaliha menyerahkan surat pelantikan kepada Fadlun sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu.

Fadlun Mak Ujud dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa esok, menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif yang perkhidmatannya dipendekkan setahun lebih awal dan bakal memulakan tugas sebagai Penasihat Hartanah Petronas Isnin depan.

Pelantikan Fadlun, 58, telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Fadlun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan mempunyai pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah serta pengurusan bandar raya.
Sebelum pelantikan ini, beliau menyandang sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menyatakan keyakinan bahawa pelantikan ini akan memastikan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus utuh dengan integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.

“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Maimunah atas sumbangan besar sepanjang memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan berjaya meluaskan reputasi ibu kota di peringkat antarabangsa.

Dr. Zaliha turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Maimunah sebagai Penasihat Hartanah Petronas, dan yakin kepakaran beliau akan terus menyumbang kepada agenda pembangunan strategik negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI