fbpx
Ishak, Aminah dan Muhammad Syahmi Faiz ketika hadir ke Mahkamah Majistret Klang hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Empat ahli keluarga mentua Prince Syed kena dakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‎KLANG – Empat ahli keluarga mentua kepada seorang pempengaruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan khianat dan mencederakan pempengaruh itu, awal bulan ini.

Kesemua tertuduh iaitu Ishak Saif, 59, Aminah Haniffa, 55, dan anak mereka, Muhammad Ikhwan Alif 22, serta Muhammad Syahmi Faiz Ishak, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

‎Berdasarkan pertuduhan, Ishak, Aminah dan Muhammad Ikhwan Alif didakwa secara bersama-sama dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman, 33, di sebuah kawasan perumahan di Sungai Bertek, Klang pada pukul 2.58 petang, 2 November lalu.
Ketiga-tiga beranak itu dituduh dibawa Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Syahmi Faiz pula didakwa telah melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) milik isteri pempengaruh tersebut sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM560 di lokasi dan waktu yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya mengikut 427 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding itu, ‎Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi tidak menawarkan jaminan kepada Muhammad Syahmi Faiz sementara tiga tertuduh lain dicadangkan sebanyak RM4,000 setiap seorang.

‎Peguam K. Nathiya mewakili empat beranak itu memohon jaminan yang rendah terhadap kesemua anak guamnya.

‎Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 kepada Muhammad Syahmi Faiz bersama syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Tiga lagi tertuduh pula dibenarkan jaminan sebanyak RM1,500. Sebutan semula kes pada 26 Januari tahun hadapan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan empat termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul dan menyerang seorang pempengaruh dan usahawan Syed Muhammad Shah atau dikenali Prince Syed. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN