SHAH ALAM – Pengasas program eHATI bersama suaminya yang dikehendaki polis kini berada di sebuah negara di Asia Tenggara selepas melarikan diri daripada pertuduhan mahkamah dilaksanakan kepada mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua mereka melarikan diri menggunakan laluan sah sehari sebelum pertuduhan itu.
“Mereka tinggalkan negara dipercayai 13 Oktober di mana pertuduhan pada 14 Oktober. “Kita telah kenal pasti ke negara mana mereka pergi dan PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara itu untuk membantu mengesan penama-penama yang dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan negara berkenaan keratan dikhuatiri akan menyukarkan lagi pencarian terhadap dua individu itu.
“(Mereka di mana) di kawasan Asia Tenggara,” tegasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis mengesahkan dua termasuk pengasas eHATI kini dikehendaki polis selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.
Dua individu itu sepatutnya didakwa pada 14 Oktober lalu bersama pasangan suami yang merupakan doktor kesihatan dan kecantikan serta bertugas sebagai fasilator eHati.
Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu telah dipanggil keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.
Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran itu melibatkan empat individu yang merupakan fasilator bagi program tersebut. – KOSMO! ONLINE














