PENGALAMAN bermain ketika beraksi di pentas Eropah dan dalam saingan Liga Jepun nyata lebih mematangkan tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools memimpin pasukan harungi detik sukar ketika ini.
Walaupun enggan memikirkan tentang masalah yang melanda Harimau Malaya ketika ini, Cools sedia melakukan apa saja tanggungjawab diberikan oleh jurulatih, Peter Cklamovski bagi memastikan keputusan positif mampu dicapai.
“Bola sepak Jepun sudah tentu berbeza daripada bola sepak Asia Tenggara, jadi ia bukan gaya permainan yang mungkin diterjemahkan di atas padang. Tetapi, saya rasa ia lebih kepada pendedahan kepada sistem baharu saya lihat di Jepun yang boleh saya kenal pasti untuk membantu rakan sepasukan ketika berada atas padang.
“Saya boleh bantu beritahu mereka apa yang saya lihat dari sudut pandang saya sendiri. Kemudian mungkin saya boleh membantu barisan pertahanan atau serangan untuk mencari penyelesaian dalam perlawanan.
“Saya rasa untuk mendapatkan pengalaman seperti itu (di Liga Jepun) setiap minggu adalah satu perkara yang baik bagi saya,” katanya.
Bekas pemain kelab Belgium, Club Brugge dan pernah bermain di pentas Liga Juara-Juara dapat merasakan Harimau Malaya kini sudah memiliki asas kukuh untuk jadi lebih baik pada masa akan datang.
“Saya rasa sejak penampilan sulung saya sehingga sekarang, saya rasa pasukan kebangsaan telah banyak meningkat secara positif. Jadi, anda juga boleh lihat bahawa kami semakin meningkat dan mempunyai asas yang baik.
“Kami memiliki ramai pemain berkualiti dalam pasukan sekarang, ramai juga pemain muda. Lebih kerap saya bermain dengan mereka, itu lebih memudahkan lagi ketika dalam perlawanan. Jadi, ia perjalanan hebat dan saya harap kami boleh teruskan cara ini,” katanya.














