fbpx
Khairy Jamaluddin pada sesi dialog antara penduduk Bukit Damansara bersama DBKL di Pusat Komuniti Bukit Damanasara petang tadi

Bukit Damansara makin sesak, padat jika terus pembangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ratusan penduduk Bukit Damansara sekali lagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan pembangunan semula kawasan berkenaan terutama cadangan pembinaan bangunan bercampur setinggi 60 tingkat di Jalan Semantan.

Ini kerana dakwa penduduk, sekiranya projek itu diteruskan, ia akan memburukkan lagi keadaan kesesakan sedia ada di kawasan berkenaan termasuk juga pengguna perkhidmatan awam.

Bantahan tersebut disuarakan pada sesi dialog antara penduduk Bukit Damansara bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pusat Komuniti Bukit Damansara petang tadi.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut serta pada sesi berkenaan berkata, penduduk di situ sebenarnya tidak menolak pembangunan di kawasan berkenaan.

Sebaliknya kata beliau, komuniti penduduk bimbang kawasan tersebut akan menjadi lebih sesak kerana rangkaian jalan raya di situ dijangka tidak mampu menampung pertambahan kenderaan terutamanya di Jalan Semantan.

Ini kerana katanya, ketika ini Jalan Semantan sudah sedia sesak kerana bukan sahaja digunakan oleh penduduk Bukit Damansara.

“Jalan Semantan adalah sebahagian daripada sistem jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Orang yang bekerja di Petaling Jaya menggunakan Jalan Semantan.

“Begitu juga jalan-jalan yang ada di sekitar Bukit Damansara. Memang sekarang pun sesak, kalau ada pembangunan hampir 80 peratus dari keluasan KLCC, ia akan jadi lagi teruk,”katanya pada sesi dialog berkenaan.

Beliau yang juga wakil penduduk di kawasan berkenaan berkata, meskipun terdapat sistem pengangkutan awam seperti stesen MRT, tetapi ia masih tidak mampu menampung kesesakan di kawasan berkenaan.

“Memang ramai yang dah guna MRT di Semantan. Tetapi apabila berlaku gangguan di Stesen Semantan dua minggu lalu, kita tengok berapa ratus pengguna yang tersangkut di situ.

“Jadi, bayangkan kawasan yang dah ada ramai pengguna MRT tambah pula dengan bangunan tersebut (pencakar langit baharu ia bukan sesuatu yang mampan,” katanya.

Barkeh Hanim

Selain isu kesesakan lalu lintas, seorang lagi wakil penduduk, Dr Barkeh Hanim Jumaat turut menyuarakan kebimbangan berkenaan isu pembangunan premis minuman keras yang didakwa berhampiran kawasan penduduk.

Menurut Barkeh Hanim, perkara itu hanya diketahui selepas penduduk terlihat notis permohonan menjual minuman keras melalui Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditampal oleh pemilik di dinding kediaman itu pada Ahad lalu.

Bagaimanapun katanya, penduduk menentang tindakan pemilik rumah itu kerana bimbang aktiviti penjualan minuman beralkohol berisiko menggugat keharmonian di kawasan kejiranan itu.

“Ketika ini, kediaman itu sedang menjalani pengubahsuaian secara besar-besaran. Kami membantah sekeras-kerasnya kerana kami tidak rela kawasan perumahan kami dijadikan seperti apa yang berlaku di Bangsar.

“Adakah sebuah pub akan naik di kawasan perumahan kami? Itu yang menghantui pemikiran kami,”soalnya.

Dalam pada itu, wakil DBKL pada sesi berkenaan memberi jaminan bahawa semua bantahan dan cadangan penduduk akan diteliti semula.

Jelas wakil itu, sebuah jawatankuasa sudah ditubuhkan untuk mengkaji semula pelan pembangunan itu demi kesejahteraan penduduk Bukit Damansara.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, BDRB telah memilik tanah berkeluasan 7.98 ekar di kawasan tersebut, dan merancang untuk membina dua buah menara setinggi 60 tingkat, iaitu pembangunan kediaman, runcit dan ruang awam.

Di bawah insentif pembangunan semula, BDRB dilaporkan merancang untuk membina 50 peratus untuk bangunan lama melebihi 11 tingkat, 30 peratus untuk lokasi dalam zon perancangan transit, dan 30 peratus untuk komponen kediaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN