LANGKAWI – Tiada penemuan mangsa dalam operasi mencari dan menyelamat (carilamat) insiden bot karam yang memasuki hari keenam hari ini.
Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan, operasi ditangguhkan pada pukul 7.30 malam ini dan akan disambung semula esok.
Sebanyak 11 aset terlibat dalam operasi hari ini melibatkan APMM, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
Setakat ini, sebanyak 42 migran ditemui hanyut di perairan ini dengan 28 daripadanya sudah meninggal dunia.
Mangsa yang maut terdiri daripada 14 lelaki dan sembilan wanita serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Seramai 14 mangsa yang dijumpai hidup terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita. – KOSMO! ONLINE















