PETALING JAYA – Sebuah tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular di media sosial mengundang pelbagai reaksi apabila seorang wanita dipercayai rakan sepejabat menghubungi isteri kepada lelaki dikenali sebagai Faiz, mendakwa dirinya telah jatuh cinta terhadap lelaki itu.
Mesej yang dihantar pada 23 Oktober lalu menunjukkan wanita berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai Amira, sebelum menyatakan tujuan sebenar menghubungi.
“Saya straight to the point (berterus terang) jelah, sebenarnya aku dah tersuka dan terjatuh cinta dengan suami awak,” tulis wanita itu.
Lebih mengejutkan, Amira turut meminta agar si isteri memujuk suami supaya menerima perasaannya.
“Boleh tak pujuk suami awak supaya terima saya? Saya dah jujur dekat dia tapi dia tolak,” katanya.
Menurut Amira, dia tidak mampu menipu perasaannya sendiri dan berharap si isteri memahami perasaan seorang wanita yang sedang dilamun cinta.
“Awak perempuan mesti awak faham perasaan saya. Saya bukan nak rampas suami awak cuma tak salah kan kalau saya pun nak memiliki dia,” rayunya.
Tindakan berani Amira mengundang kecaman ramai yang menyifatkan wanita itu sebagai tidak beradab, selain cuba merosakkan hubungan suami isteri.
“Cakap baik-baik pasti tak jalan. Sejenis perempuan ‘penyondol’ mesti nak ‘test power’, cakap kasar-kasar nanti dia hantar sihir.
“Kau letak sahaja syarat berat-berat, mewah-mewah setiap bulan kena bagi berapa ribu tengok dia sanggup tak semua itu. Kalau sanggup, anda dialu-alukan,” cadang Riena Fitri.
“Dasar tak beradab. Memang kau berani tapi kau perosak,” kata Ayuni.
“Faiz…bagi kau lari, walaupun kau dah tolak, tetap nanti kau salah,” seloroh Khomeini. – KOSMO! ONLINE















