“JIKA ditanya apa sebab memilih bidang arkeologi sebagai kerjaya sampailah ke detik ini, saya sendiri tidak tahu kenapa.
“Apa yang saya ingat, usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ditawarkan menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Bahasa Cina dan Linguistik.
“Hampir empat tahun di universiti, di sanalah saya belajar banyak ilmu antropologi termasuk mengenai arkeologi Cina dan sejak itu jugalah minat dalam bidang tersebut (prasejarah) mula lahir.”
Demikian sorotan Prof. Emeritus Datuk Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid kepada K-Wanita tatkala mengenang semula titik tolak dirinya mula mengenali dunia arkeologi lebih enam dekad lalu.
Lebih membanggakan, anak kelahiran Kuala Lumpur yang dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2025 baru-baru ini merupakan ahli arkeologi pertama negara yang mengkaji prasejarah negara tercinta, Malaysia.
Siti Zuraina yang merupakan Profesor Emeritus dari Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pengiktirafan itu pada majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-16 di Subang Jaya, Selangor.
Penemuan saintifik rangka Perak Man pada tahun 1991 di dalam Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak oleh Siti Zuraina dan pasukannya di Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (PPAM) USM memberikan sumbangan penting kepada sejarah sains perubatan dan genetik.
Penemuan itu membolehkan Lembah Lenggong diiktiraf Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2012 selain mengesahkan peranan kawasan tersebut sebagai laluan migrasi manusia dari Afrika ke Australia yang menyumbang kepada teori sejarah manusia global.
Siti Zuraina diiktiraf atas sumbangannya kepada bidang arkeologi Malaysia sejak tahun 1970-an dan pernah menerima Anugerah Merdeka bagi Pencapaian Scholastic Cemerlang pada tahun 2020.
Siti Zuraina juga pernah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Women at 50 Yale Award.
Menerusi temu bual bersama wanita hebat ini tempoh hari, dia yang berusia 81 tahun kini masih aktif sebagai pakar rujuk warisan dan akademik, serta meneruskan legasi penyelidikan dan kepimpinan global.
“SAYA tidak tahu apa itu rehat. Saya tidak pernah kira atau fikir bab umur. Bagi saya, selagi khidmat dan kepakaran diperlukan, selagi itu saya akan terus membantu dan bekerja,” ungkap Dr. Siti Zuraina.
Bahkan, pada masa ini pun dirinya masih menjawat dua jawatan iaitu sebagai Prof. Emeritus di USM, Pulau Pinang dan sebagai Penyandang Kerusi Za’ba di Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
“Jadi, bila ramai yang bertanya tidak penat dan masih larat bekerja pada usia sekarang, saya hanya berkata, boleh.
“Sebab bagi saya, usia bukan penentu tamatnya kerjaya seseorang,” katanya.

Sehingga kini, Siti Zuraina dikenali sebagai saintis ulung dikenali hasil penemuan saintifik berkaitan revolusi prasejarah Malaysia menerusi penyelidikan di Lembah Lenggong dan Niah.
Dr. Siti Zuraina turut dilaporkan menemukan teknologi alat batu Paleolitik tertua di Asia Tenggara dan peluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia.
Menyorot salasilah diri dan latar pendidikan serta kerjayanya, anak bongsu daripada lapan beradik ini dilahirkan dalam keluarga sederhana.
Jelas Siti Zuraina, ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa dan bapanya pula bekerja sendiri bagi menyara keperluan keluarga.
“Sewaktu tahun 1944 hingga 1960, ketika itu anak-anak perempuan memang tidak digalakkan belajar tinggi.
“Saya dan kakak lain beruntung kerana dapat belajar di sekolah Inggeris dan mendapat pendidikan awal dengan baik. Ibu saya juga merupakan pelajar wanita pertama sekolah tersebut.
“Jadi, bila ada peluang dapat sambung pelajaran ke UM pada masa itu, saya pergi dan keluarga banyak membantu sampailah tamat belajar,” katanya.
Sejurus menggenggam ijazah sarjana muda, dia terus ditawarkan ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang sama iaitu linguistik di Cambridge University di United Kingdom.
Tidak berfikir panjang, dia terus menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang antropologi di Yale University, Amerika Syarikat dengan memfokuskan kajian tentang Gua Niah di Sarawak.
Pulang ke tanah air sekitar tahun 1978, dia memulakan kerjaya sebagai profesor dalam bidang arkeologi di Pusat Pengajian Arkeologi Malaysia (PPAM) atau kini dikenali sebagai Pusat Pengajian Arkeologi Global (PPAG) USM hingga dirinya bersara ketika usia 62 tahun.
“Saya masih ingat, mula-mula nak masuk USM bukan mudah. Pelbagai cabaran datang bersilih ganti.
“Lagipun pada ketika itu kursus dan bidang arkeologi masih tidak dikenali. Jadi sukar dan terhad dari segi peluang kerja itu.
“Ketika itu juga, negara kita masih terkebelakang dalam kajian prasejarah berbanding negara jiran lain seperti Indonesia dan Thailand.
“Tetapi alhamdulillah rezeki Allah berikan saya diterima masuk dan berkhidmat di USM sampailah pencen pada tahun 2006,” katanya.

Tidak sempat berehat panjang menikmati pencen, Siti Zuraina memberitahu, khidmat dan kepakarannya segera diperlukan di Kuala Lumpur.
Maka, bermula tahun 2006, dirinya dilantik sebagai Pesuruhjaya atau Ketua Pengarah Warisan dan diamanah menubuhkan Jabatan Warisan Negara.
“Jabatan Warisan Negara ditubuhkan pada 1 Mac 2006 dan sebelumnya ia adalah sebuah bahagian di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) sebelum dinaik taraf.
“Di sana, sebagai Pesuruhjaya, tugas saya bagi memelihara, memulihara, melindungi dan mempromosikan khazanah warisan Malaysia seperti apa yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 atau Akta 645.
“Bukan senang mahu tubuhkan sebuah Jabatan dan alhamdulillah saya sempat menabur bakti dan berkhidmat sampai 2014 ketika berumur 70 tahun,”
ungkap Siti Zuraina.
Berkongsi mengenai cabaran dalam kerjayanya sebagai ahli arkeologi dan penyelidik, Siti Zuraina bersyukur kerana dianugerahkan suami, Allahyarham Datuk Dr. Vincent Salih Lowe yang begitu memahami kerjanya.
Akuinya, menjadi ahli arkeologi dan penyelidik bukanlah mudah seperti disangka atau dilihat dengan mata, namun ia perlu dilalui dengan pelbagai pengorbanan.
“Ketika saya berkhidmat di USM, boleh dikatakan setiap masa saya akan berada di lapangan. Sarawak itu dah macam rumah kedua bagi saya terutama di Gua Niah.
“Paling lama saya akan tinggalkan keluarga dan anak-anak selama sebulan. Biasanya paling singkat dua minggu.
“Kerja-kerja di lapangan juga memerlukan saya untuk tidak ada perasaan takut dan kena sama berani seperti lelaki. Biasanya memang saya sahaja seorang wanita yang terlibat.
“Tidur dan makan dalam gua itu perkara biasa.
“Itu belum lagi ancaman haiwan buas dan liar seperti beruang dan lain-lain.
“Saya masih ingat, setiap kali saya akan pergi ke lapangan bagi kerja-kerja pencarian dan penyelidikan, arwah suami pasti akan berpesan kepada staf lelaki lain untuk menjaga saya dengan sebaiknya,” ujarnya tertawa.
Wanita yang handal memasak pelbagai jenis masakan terutama Melayu dan Cina ini bersyukur kerana kerja-kerjanya dipermudah sekali gus dapat disumbangkan kepada negara.
Siti Zuraina yang juga ahli Akademi Sains Malaysia (ASM) dicalonkan bermula pada tahun 2017 itu juga bersyukur apabila usahanya sekali lagi membuahkan hasil apabila Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Taman Hutan Selangor kini secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pengiktirafan itu diumumkan semasa Sesi Ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO pada 11 Julai lalu di Paris sekali gus menjadikannya Tapak Warisan Dunia UNESCO keenam di Malaysia.
Mengenai perasaannya dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara baru-baru ini, Siti Zuraina sekali lagi bersyukur atas pengiktirafan besar ini.
“Saya gembira dan bersyukur apabila terpilih dan diiktiraf untuk sesuatu yang saya benar-benar mahu lakukan untuk negara.
“Menerusinya, saya menjadi lebih bersemangat untuk terus memartabarkan bidang arkeologi di negara ini agar ia terus kekal sampai ke generasi seterusnya,” katanya menutup bicara.














