fbpx
Amirudin membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini

Belanjawan Selangor 2026: Pelajar IPT anak Selangor dapat durian runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) anak Selangor menerima pelbagai durian runtuh pada Belanjawan Selangor 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM17.378 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan dengan 50 peratus yuran pengajian bagi 400 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (Unisel) bagi sesi kemasukan September 2026 ditanggung kerajaan negeri.

“Selain itu, sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan menerusi Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor pada tahun depan yang akan memanfaatkan seramai 5,000 mahasiswa berbanding RM3 juta bagi tahun sebelumnya.

“Ini sebagai selaras meneruskan hasrat murni kerajaan negeri dan memberi galakan kepada mahasiswa untuk terus menuntut ilmu,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan peruntukan kepada RM15 juta bagi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) untuk memanfaatkan lebih ramai pelajar.

“Sejak tahun 1985 sehingga September 2025, program pinjaman dan biasiswa yang ditawarkan telah memberi manfaat kepada kira-kira 30,305 anak Selangor.

“Komitmen kerajaan Selangor bagi menjayakan insentif ini sehingga kini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM429.8 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara (PBUDN) akan ditambah baik dengan memberi tumpuan kepada pelajar yang mendaftar di Unisel dan UIS dengan garis panduan serta mekanisme penambahbaikan itu akan diumumkan kelak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN