SHAH ALAM – Insentif Muassasah Haji jemaah haji Selangor akan dinaikkan kepada RM1,500 berbanding RM1,000 seorang tahun depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM9 juta disediakan bagi tujuan itu daripada kerajaan negeri dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI)
“Sejak insentif ini dilaksanakan pada tahun 2022, seramai 18,000 jemaah muassasah telah dibantu kerajaan negeri,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Amirudin berkata, program insentif sama tajaan penuh kerajaan negeri juga akan diteruskan pada tahun depan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 1.2 juta.
“Atas usaha Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Tabung Haji adalah dianggarkan peruntukan ini akan dapat memberi peluang mengerjakan haji kepada seramai 75 bakal jemaah haji.
“Pelaksanaan insentif ini bagi tahun pertama pada 2024 telah dapat membiayai seramai 36 jemaah haji dalam kalangan asnaf fakir miskin sebelum ditingkatkan kepada 46 orang tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














