PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan notis rayuan yang difailkan pada Khamis bukan terkait penghakiman isu 40 peratus hasil Sabah.
Sebaliknya jabatan itu menegaskan rayuan tersebut adalah sebahagian daripada keputusan mahkamah, khususnya berkaitan beberapa kekhilafan dalam Alasan Penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“AGC telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Kinabalu pada Khamis terhadap sebahagian daripada keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AGC, alasan penghakiman berkenaan antara lain mendakwa bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan Perlembagaan.
Mahkamah sebelum ini turut membatalkan sebahagian keputusan yang termaktub dalam tiga Warta Persekutuan masing-masing bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 selepas mendapati ia bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan berhubung pemberian khas kepada Sabah. – KOSMO! ONLINE














