KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,967 kenderaan perdagangan telah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur pada Ops Perang Lebih Muatan sejak bulan lalu hingga kini.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak 939 kenderaan perdagangan diambil tindakan membabitkan 2,398 saman atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan terebut termasuk membawa muatan berlebihan, kesalahan teknikal, insurans tamat tempoh serta memandu tanpa lesen sah.
“Sebanyak 14 buah kenderaan turut disita dan kesalahan melibatkan pemandu warga tempatan serta warga asing,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Jelasnya, statistik terbaharu ini menunjukkan bahawa tren ketidakpatuhan masih pada tahap membimbangkan.
“(Ini) sekali gus mengesahkan keperluan JPJ Kuala Lumpur meneruskan operasi secara konsisten bagi membanteras budaya membawa muatan berlebihan,” ujarnya.
Tambah Hamidi, fasa terbaharu operasi kali ini memberi tumpuan kepada laluan ‘hotspot’ yang dikenal pasti melalui risikan semasa melibatkan sektor kuari, perindustrian berat dan laluan ke pelabuhan.
“Ops kali ini dilaksanakan berdasarkan risikan terperinciyang dilakukan oleh Unit Operasi JPJ Kuala Lumpur, merangkumi pemantauan taktikal di lokasi ‘hotspot’, pemerhatian berjadual, analisis aduan serta semakanrekod kesalahan lampau,” jelasnya.
Dalam operasi terbaharu yang dijalankan bermula 12 tengah malam hingga 9 pagi tadi sekitar ibu kota, beliau berkata, pihaknya menyita lima kenderaan perdagangan atas kesalahan serius.
“Antara kesalahan dikesan ialah sebuah lori tipper dumper membawa muatan melebihi had sehingga 88.07 peratus, sebuah treler melanggar syarat permit serta pemandu yang memandu tiada lesen memandu dan lesen kenderaan barangan yang sah termasuk seorang warga asing,” jelasnya.
Kesemua kenderaan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE















