SHAH ALAM – Seramai 14 individu terutama melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan berhubung kekecohan kerja-kerja pengosongan bagi perobohan perumahan di Kampung Papan, Pandamaran di Klang dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua tangkapan itu melibatkan 11 lelaki dan tiga wanita itu direkodkan setakat semalam, ekoran laporan yang dibuat oleh pihak-pihak yang melaksanakan arahan perobohan tersebut.
“Majoriti yang ditangkap adalah daripada NGO dan tiada penghuni rumah (terlibat).
“Namun, kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan awal dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.
Tambah beliau, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Shazeli berkata, jumlah keanggotaan yang ditugaskan bagi menjamin keselamatan di Kampung Papan ialah kira-kira 100 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kerja-kerja merobohkan rumah di Kampung Papan, Pandamaran bertukar tegang apabila terdapat individu yang mendakwa sebagai penduduk bertindak agresif membantah aktiviti itu.
Insiden kekecohan bagaimanapun berjaya dikawal sewajarnya oleh pasukan keselamatan termasuk Unit Light Strike Force (LSF). – KOSMO! ONLINE














