DUBLIN – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mahu terus mengukuhkan reputasinya sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia menerusi rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman bersama pasukan kebangsaan.
Menjelang aksi Kumpulan F kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Ireland, awal pagi esok, Ronaldo bertegas kualitinya masih lagi berada pada tahap terbaik walaupun usianya kini sudah mencecah 40 tahun.
“Ketika ini saya masih rasakan yang saya berada pada tahap terbaik, saya jaringkan gol dan kekal tajam melakukan penyudah. Saya sedang menikmati permainan saya bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
Bulan lalu, Ronaldo sudah pun muncul sebagai penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala Dunia selepas meledak dua gol ketika seri 2-2 dengan Hungary untuk memastikan jaringan ke 41 mengatasi bekas bintang Guatemala, Carlos Ruiz (39 gol).
Ronaldo yang kini bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr juga adalah penjaring terbanyak pasukan kebangsaan dengan merekodkan 143 gol secara keseluruhan dan sedang memburu 1,000 jaringan di peringkat kelab dan Portugal.
Ketika ini, Portugal hanya memerlukan dua mata lagi untuk mengesahkan tempat di pusingan akhir Piala Dunia 2026 dan Ronaldo juga bercita-cita untuk bermain di pentas tertinggi itu buat kali keenam walaupun usianya tahun depan sudah mencecah 41 tahun.
“Sudah tentu kerana saya akan berusia 41 tahun. Tidak lama lagi (akan bersara), mungkin dalam tempoh setahun dua lagi,” katanya. – AGENSI














