PETALING JAYA – UEM Sunrise Berhad melalui syarikat kerjasama Mega Legacy (M) Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk melaksanakan program pemulihan menyeluruh bagi meningkatkan kualiti air di salah satu tasik awam terbesar Kuala Lumpur.
Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan Fasa 2 pelan pemuliharaan tasik di Taman Metropolitan Kepong, yang merangkumi usaha memulihkan keseimbangan ekologi, memperkenalkan sistem rawatan air serta membangunkan strategi penyelenggaraan jangka panjang.
Ia turut melibatkan penambahbaikan kemudahan di sekitar tasik bagi menyokong aktiviti rekreasi seperti kayak, perahu naga, larian, berbasikal dan aktiviti kemasyarakatan mesra keluarga.
Yayasan UEM, yang merupakan sayap kebajikan UEM Group Berhad telah bersetuju untuk menyalurkan geran bagi membiayai sebahagian daripada kerja-kerja pemulihan Fasa 2.
Pemulihan disokong oleh penilaian saintifik, yang mana kajian awal kualiti air telah dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun 2023, diikuti penilaian Fasa 1 pada 2024 untuk menganalisis sedimen tasik, komposisi nutrien dan biodiversiti bagi mengenalpasti penyelesaian teknikal untuk fasa pemulihan seterusnya.
Taman Metropolitan Kepong meliputi kawasan seluas 219 ekar serta tasik berkeluasan 106 ekar merupakan antara taman bandar terbesar di Kuala Lumpur.
Terletak bersebelahan pembangunan Kiara Bay seluas 73 ekar yang dibangunkan oleh UEM Sunrise, inisiatif pemulihan ini menyokong misi DBKL untuk memperkaya ruang hijau bandar, memelihara aset semula jadi serta memperkukuh daya tahan alam sekitar Kuala Lumpur.
Pengerusi Mega Legacy dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Azmar Talib berkata, inisiatif berkenaan memperkukuh komitmen UEM Sunrise dalam membangunkan perbandaran mampan yang mengimbangi pertumbuhan, seiring dengan pemeliharaan ekologi.
“Tasik ini sentiasa menjadi nadi utama kepada pelan induk Kiara Bay. Tanggungjawab kami adalah untuk mempertingkatkan tasik ini sebagai aset awam yang bersih, selamat dan mudah diakses oleh semua.
“Kerjasama ini melambangkan komitmen bersama terhadap pembangunan bertanggungjawab dan kesejahteraan komuniti, memastikan tasik ini kekal sebagai persekitaran yang lestari dan bertenaga untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














