WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump menasihati konsulat-konsulat Amerika Syarikat (AS) untuk menolak permohonan visa bagi pemohon yang mempunyai berat badan berlebihan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Langkah itu diambil bagi mengelak kerajaan Amerika menanggung kos perubatan mereka.
Keadaan lain yang disenaraikan dalam panduan tersebut termasuk obesiti, tekanan darah tinggi, diabetes, apnea tidur, kanser, penyakit kardiovaskular dan pernafasan serta beberapa gangguan saraf.
Panduan tersebut menyatakan bahawa penolakan adalah untuk mereka yang mungkin layak mendapat faedah awam, yang menurut sesetengah pihak adalah beban kepada pembayar cukai Amerika.
“Anda mesti mempertimbangkan kesihatan pemohon. Keadaan perubatan tertentu berpotensi memerlukan penjagaan kesihatan bernilai ratusan ribu dolar,” kata arahan tersebut.
Berita itu dikeluarkan pada hari sama Trump mengumumkan pemotongan kos suntikan penurunan berat badan di Oval Office.
Jurucakap kerajaan, Tommy Pigott berkata dalam satu kenyataan: “Bukan rahsia lagi pentadbiran Trump mengutamakan kepentingan rakyat Amerika.
“Ini termasuk menguatkuasakan dasar yang memastikan sistem imigresen kita tidak menjadi beban kepada pembayar cukai Amerika.”
Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan, orang dewasa yang mengalami obesiti di AS menyaksikan kos penjagaan perubatan tahunan tambahan sebanyak S$2,500 (RM10,300). – AGENSI














