SEREMBAN – Selepas lima tahun, tiga mekanik motosikal berkuasa tinggi akhirnya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 227.6 gram dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines pada 2020.
Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap K.Kaviwarman, 29, N.Gobinath, 30, dan S.Dinesh Kumar, 32.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh, dengan itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya dalam penghakiman ringkas di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin dan Monoacetylmorphines dengan berat keseluruhan 227.6 gram kira-kira pukul 2.30 petang di Dataran Sentral di sini pada 3 Julai 2020.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Hazwani Omar manakala tertuduh pertama, Kaviwarman diwakili peguam S. Kartikeyan dan M.Gopinathan sementara tertuduh kedua dan ketiga diwakili peguam Datuk Chee Kuat Lim. – KOSMO! ONLINE














