PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan pentas Sukan SEA bukan kayu ukur untuk menilai kekuatan sebenar skuad badminton negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas yang jauh lebih berprestij.
Beliau menyifatkan tahap persaingan di kedua-dua kejohanan itu sangat berbeza sekali gus menolak andaian bahawa prestasi di temasya dwitahunan itu boleh dijadikan gambaran awal untuk misi memburu gelaran Piala Thomas di Horsens, Denmark, dari 24 April hingga 3 Mei 2026 nanti.
Menurutnya, objektif utama penyertaan skuad negara di Sukan SEA lebih menjurus kepada aspek pembinaan semangat berpasukan dan bukannya untuk menilai keupayaan teknikal pemain secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh lihat Sukan SEA sebagai gambaran bahawa kita akan berjaya di Piala Thomas. Tahapnya sangat jauh berbeza.
“Tetapi, di situ (Sukan SEA), kita boleh lihat bagaimana kita mahu membangunkan semangat berpasukan (team spirit). Itu sahajalah,” tegasnya.
Tambah Rexy, perancangan lanjut mengenai skuad Sukan SEA dan hala tuju jangka panjang, termasuk misi Piala Thomas 2026 akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas bersama semua jurulatih dan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Rexy mengesahkan bahawa tiada sebarang rombakan akan dibuat terhadap senarai pemain yang telah dipilih untuk menggalas cabaran negara di Thailand pada temasya itu nanti.















