PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai ‘Pade Ajak’ selepas melakukan siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Hulu Selangor, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan dan maklumat awam itu dilaksanakan oleh pegawai Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis yang dijadikan lokasi transit bagi migran sebelum diseludup keluar ke Indonesia secara haram.
“Premis itu beroperasi di sebalik kedai runcit dan kedai makan dengan menyediakan kemudahan tempat tinggal, bilik air serta dapur.
“Hasil serbuan, sembilan warga Indonesia termasuk tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan bersama dua lelaki masing-masing warga Nepal dan Indonesia yang bertindak sebagai pengangkut migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan Toyota Innova yang digunakan untuk mengangkut migran ke lokasi seterusnya.
Katanya, serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama membawa kepada tangkapan enam lagi migran warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 40 tahun, serta dua penjaga rumah masing-masing seorang wanita Indonesia dan lelaki Nepal.
“Siasatan awal mendapati semua migran ditempatkan sementara di premis berkenaan sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di perairan Kuala Selangor.
“Kebanyakan mereka mengaku menggunakan khidmat sindiket melalui akaun media sosial,” jelasnya.
Zakaria berkata, dalam tindakan susulan, seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki dalang utama dan transporter sindiket turut ditahan.
“Turut dirampas sebuah kenderaan Perodua Alza serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil bayaran daripada migran untuk tujuan penyeludupan keluar,” katanya.
Tambahnya, JIM kini sedang mengesan pemilik premis tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket tersebut dengan menyewakan atau membenarkan premis dijadikan pusat pengumpulan migran.
Hasil siasatan mendapati sindiket ‘Pade Ajak’ itu aktif sejak awal 2023 dengan rangkaian ejen di Malaysia dan dalang utama di Indonesia.
“Sindiket mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap individu dan dipercayai meraih keuntungan keseluruhan kira-kira RM504,000 hasil aktiviti haram tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, JIM sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyeludupan migran. – KOSMO! ONLINE














