PETALING JAYA – Pasukan China menamatkan saingan penuh bergaya apabila muncul juara dunia pada Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2025 yang berlangsung di Pulau Jeju, Korea Selatan, semalam.
Menurut kenyataan penganjur rasmi WAGC Malaysia, Delta World Sdn. Bhd., kejohanan edisi Jeju ini sekali lagi membuktikan semangat kesukanan dan persahabatan antarabangsa yang menjadi tunjang utama pertandingan.
“WAGC bukan sekadar kejohanan golf, tetapi platform yang menyatukan pemain amatur seluruh dunia di bawah semangat ‘Sport Promotes Friendship and Business’,” katanya dalam kenyataan itu.
China mengetepikan cabaran sengit 39 pasukan dari seluruh dunia termasuk juara bertahan Malaysia yang sebelum ini menjuarai edisi 2018, 2019, 2022 dan 2023 di Sabah, Kuala Lumpur serta Phuket dengan tempat kedua menjadi milik Filipina, manakala Indonesia di tangga ketiga.
Malaysia mencatatkan prestasi terbaik individu melalui Abdullah Dania (HCP 6) yang menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan Divisyen 2 dengan catatan pukulan konsisten 74, 72, 71 dan 70 sepanjang empat hari kejohanan dalam format Strokeplay Nett.
Menariknya, kejohanan kali ini turut disertai legenda bola sepak Liverpool, Jerzy Dudek yang mewakili Poland dan berjaya mencuri perhatian apabila menamatkan saingan dengan 313 pukulan dan dinobatkan sebagai Pemain Gross Terbaik bagi kategori Invitational Champions of Champions.
Kejohanan selama lapan hari itu melabuhkan tirai dengan Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Hadiah yang dihadiri lebih 600 tetamu antarabangsa dan disempurnakan oleh Pengarah Tourism Malaysia (Pejabat Seoul), Kamilia Hani Abdul Halim.
Majlis malam itu turut menyaksikan upacara penyerahan bendera WAGC kepada Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah edisi 2026 di Johor, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sejak diperkenalkan di Sweden pada tahun 1995, WAGC kini berkembang sebagai kejohanan golf amatur terbesar dunia, menghimpunkan pemain dari pelbagai negara bagi merebut kejuaraan dunia setiap tahun. – KOSMO! ONLINE














