SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berpura-pura mahu membeli barangan kemas sebelum melarikan seutas rantai tangan emas bernilai RM20,000 dari sebuah kedai emas di Tikam Batu dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, terdapat beberapa pelanggan lain yang turut berurusan membeli barangan kemas di premis berkenaan.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai seorang lelaki tempatan. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada pembantu jualan kedai emas berkenaan pada pukul 1.41 tengah hari.
“Ketika kejadian, terdapat beberapa pelanggan termasuk suspek sedang berurusan membeli barang kemas di premis yang menggunakan pintu kawalan automatik.
“Suspek yang memakai baju-T berwarna hijau serta bertopi kemudian bertindak berlari keluar ketika pintu dibuka untuk membolehkan seorang pelanggan yang selesai berurusan keluar,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemilik kedai cuba mengejar suspek namun gagal, selain tidak sempat melihat kenderaan yang dinaiki lelaki itu.
“Pihak kami sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














