JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di rantau Pati, wilayah Jawa Tengah hampir menangkap entiti didakwa pocong yang muncul secara tiba-tiba di sebuah majlis kesyukuran, lapor laman berita Detik.
Majlis kesyukuran itu berlangsung di Desa Mojo pada Ahad lalu.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @detikcom menunjukkan beberapa lelaki memegang kain kafan dipercayai milik makhluk halus tersebut di hadapan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Cluwak, AKP Tejo Pramono tampil menjelaskan bahawa pelaku yang menyamar sebagai pocong itu sengaja menakut-nakutkan penduduk semasa acara berlangsung.
“Pelaku itu hampir ditangkap, namun dia kemudian melarikan diri. Penduduk sempat merampas telekung yang dipakai oleh pelaku lalu dibakar.
“Pelaku masih berkeliaran. Pemilik rumah bagaimanapun tidak mengalami sebarang kehilangan harta benda,” kata Tejo. – AGENSI















