fbpx
Pastor Raymond (kiri) dan Amri.

Pasukan khas PDRM siasat semula kehilangan Amri Che Mat, Raymond Koh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan siasatan khas yang diketuai oleh Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), untuk menyiasat kehilangan Amri Che Mat dan seorang pastor,Raymond Koh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu susulan keputusan mahkamah yang mendapati polis sebelum ini gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya.

Beliau berkata, pasukan itu akan meneliti semula semua kertas siasatan, laporan SUHAKAM dan laporan pasukan petugas khas serta mendapatkan keterangan baharu.

“Kita mengajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu pihak polis,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliu berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) apakah langkah seterusnya yang akan diambil berhubung keputusan mahkamah terkait Amri Che Mat dan Raymond Koh khususnya menyentuh kewibawaan siasatan PDRM.

Saifuddin berkata, pihak Peguam Negara telah pun membuat kenyataan untuk mengemukakan rayuan.

“Mengemukakan rayuan bukanlah satu yang asing, prinsip keadilan sejagatnya adalah pihak terlibat diberitahu pertuduhan, dibawa ke muka pengadilan, ada hakim bicara, diberi peluang untuk membawa peguam bela.

“Kalau satu keputusan telah dijatuhkan, dia masih ada hak untuk mengemukakan rayuan,” katanya.

Katanya, di dalam kes ini, di mana kerajaan antara yang dinamakan sebagai defendan, maka penasihat undang-undang bagi kerajaan adalah Peguam Negara bagi meneliti penghakiman yang dibuat.

“Maka Peguam Negara berpendapat ada asas untuk mengemukakan; termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan komitmen kewangan.

“Ini bukan bermaksud kerajaan memandang rendah soal nyawa, hak dan kebebasan, atau mengutamakan beban kewangan. Tidak sama sekali. Ini adalah atas prinsip menegakkan keadilan sejagat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI