GUA MUSANG – Lebih 100 keluarga yang tinggal berhampiran Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi di sini, membaik pulih 100 buah rumah rakit yang dibina sejak 10 tahun lalu bagi menghadapi bencana banjir.
Seorang penduduk, Hanusi Razah, 49, berkata, rumah rakit yang dibuat daripada kayu, tong dan zink membantu penduduk yang tinggal di kawasan rendah serta tebing sungai untuk menyelamatkan barangan ketika banjir.
Katanya, mereka melakukan persediaan lebih awal setiap tahun termasuk membina bangsal atau khemah di atas bukit sebagai tempat berlindung sekiranya terkandas banjir dan tidak sempat ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan pihak berkuasa.
“Saya memperuntukkan kos sebanyak RM6,000 bagi membina rumah rakit dan RM4,000 untuk membeli sebuah bot bagi kegunaan keluarga dan penduduk kampung.
“Saya menggunakan 24 buah tong untuk membina rumah rakit. Keluasan rumah rakit berkenaan dapat menyimpan pelbagai barangan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan mesin basuh,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Othman, 54, pula berkata, dia telah membuat persiapan awal membaik pulih rumah rakit untuk menyimpan pakaian dan barangan elektrik di atas rumah rakit.
Katanya, dia telah membuat persiapan awal membaik pulih rumah rakit sebelum menyimpan pakaian dan tilam ke atas rumah rakit.
Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Gua Musang, Mohd. Roshdi Ismail berkata, sebanyak 174 aset dan hampir 1,000 anggota keselamatan di daerah ini bersiap sedia hadapi banjir Jabatan Meteorologi menjangkakan Monsun Timur Laut bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.














