PONTIAN – Nelayan yang dilaporkan hilang ketika mencari ketam berhampiran Jeti Rambah petang semalam ditemui meninggal dunia berhampiran Sangkar Pancing Barakah Kukup, di sini petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, mangsa, Tan Swee Kuang, 65, ditemui oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) semasa rondaan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di perairan Kukup.
“Adik mangsa yang datang ke lokasi penemuan mayat telah mengesahkan bahawa mayat yang ditemui itu adalah abang kandungnya,”katanya di sini hari ini.
Terdahulu, seorang nelayan dilaporkan hilang selepas keluar mencari ketam berhampiran Jeti Rambah, di sini, sejak petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mohammad Shofee Tayib mengesahkan penemuan mayat lelaki berusia 65 tahun itu petang ini di Kukup.
Katanya, mayat lelaki yang ditemui itu merupakan individu yang dilaporkan keluar ke laut pada pukul 1.30 petang semalam namun tidak pulang sehingga pukul 7.15 malam tadi.
“Isterinya telah memaklumkan kejadian kepada abang ipar mangsa setelah mendapati suaminya tidak pulang ke rumah sebelum satu laporan polis dibuat,”katanya. – KOSMO! ONLINE














