SUNGAI PETANI – Seorang wanita nekad terjun dari sebuah kereta yang masih bergerak kerana takut dipukul suami ketika melalui lampu isyarat simpang empat berhampiran Mahkamah Sungai Petani di sini semalam.
Video kejadian berdurasi 19 saat itu menunjukkan seorang wanita membuka pintu bahagian penumpang sebelum terjun ke jalan raya lalu dikejar seorang lelaki.
Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui laluan tersebut sebelum tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sejurus video itu tular, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita yang mengaku kejadian itu membabitkan dirinya dan suami.
“Wanita itu mendakwa dia telah dipaksa menaiki kereta suaminya semasa mereka terserempak di sebuah stesen minyak di Bedong pada pukul 6 petang semalam.
“Ia bagi membincangkan mengenai kemelut rumah tangga mereka. Wanita itu mendakwa mereka tidak tinggal serumah sejak sebulan lalu kerana tidak tahan dengan tindakan pasangannya yang sering memukulnya,” katanya di sini hari ini.
Pasangan terbabit dikatakan berkahwin pada Oktober tahun lalu.
Menurut Hanyan, pihaknya kemudian menahan suami wanita berkenaan di sebuah rumah di daerah ini pada pukul 8.40 malam hari yang sama.
“Lelaki berusia 31 tahun dan merupakan seorang penganggur direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. – KOSMO! ONLINE














