KUALA LUMPUR – Terlalu menonjol di sosial media dengan segala kemewahan, usahawan dan pempengaruh media sosial, Mariyah Yaakob atau dikenali sebagai Makcik Kemboja tidak bimbang andai ditakdirkan ‘jatuh terduduk’ seperti kebanyakan pengasas produk lain.
Mariyah, 50, berkata, tiada apa yang perlu digusarkan sekiranya seseorang usahawan itu yakin dengan keberadaannya di gelanggang media sosial yang penuh pancaroba.
“Kalau kita ikut jalan yang betul, takkan jadi benda itu (zaman kejatuhan). Sebab itu, bagaimana sekalipun kita berkongsi itu dan ini di media sosial, kita kena ‘behave’ (jaga perangai).
“Bila kita nak naik, banyak mata yang ‘marah’. Macam saya sendiri, kita berada di landasan yang betul, insya-Allah.
“Saya selalu berpegang pada tagline ‘you do the best, you akan dapat the best’. Jadi, menjawab soalan saya takut ke tak, saya tak pernah takut (jatuh),” katanya ketika ditemui Kosmo! Online semalam.
Ditanya sama ada kejayaan dirinya bergelar usahawan berjaya membuatkan ramai orang sekeliling berasa dengki, jawabnya: “Ada je orang dengki tapi kita anggap sahaja mereka itu sebagai ‘hadiah’ daripada Allah SWT.
“Sebagai seorang usahawan, kita memang tak boleh halang orang (daripada melihat) dan tak boleh kawal semua keadaan. Kita kawal je diri kita.
“Bila orang melakukan melakukan provokasi ketika saya sedang bersiaran langsung (live) di TikTok, saya tenang dan rileks je. Saya secara peribadi, anggap orang yang berperangai begitu kurang kasih sayang.”
Mariyah turut mengakui dalam dunia perniagaan, dia pernah terkena penyakit ain, namun percaya kesembuhan itu milik Allah SWT.
“Dalam tempoh dua minggu ini, saya memang ada (terkena penyakit ain).
“Kalau nak bekerja, saya macam mengantuk sangat. Masuk sahaja pukul 7 petang (menjelang maghrib), saya terus auto lembik.
“Tapi, saya lawan tengah live istighfar tak henti (istighfar) sampailah bulu roma saya naik tegak. Dalam pada orang puji kita cantik, kita kena balas sahaja ‘masya-Allah’ sebab semua ini bukan milik kita tapi milik Allah,” ujarnya lagi.
Mariyah yang turut dikenali sebagai Madam Mariyah ditanya tentang nasib sebilangan usahawan Melayu yang berdepan zaman kejatuhan disebabkan terlalu menonjol di media sosial.
Terdahulu, tiga kenderaan mewah dan 727 barangan peribadi milik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida dibida seorang lelaki pada harga keseluruhan RM1 juta.
Turut mencari tumpuan, usahawan kosmetik Nur Sajat dilaporkan berpindah ke Australia pada sekitar Oktober 2021 setelah melarikan diri dari Malaysia kerana waran tangkap terhadapnya. – KOSMO! ONLINE














