SEREMBAN – Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja agar kembali ke meja rundingan susulan penggantungan perjanjian damai oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul selepas insiden letupan periuk api yang mencederakan empat anggota tentera negara itu di wilayah sempadan Si Sa Ket, baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sebagai penyelaras kepada proses damai tersebut amat dukacita dengan kejadian berkenaan yang berlaku tidak lama selepas kedua-dua pemimpin berkenaan menandatangani perjanjian genjatan senjata di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN, yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Kita berasa kesal kerana selepas perjanjian tersebut ditandatangani, kedua-dua pemimpin kelihatan gembira, namun kini berlaku pula sedikit salah faham di peringkat sempadan sehingga menyebabkan penggantungan genjatan senjata oleh pihak Thailand,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada penyampaian kit untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan komputer riba pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Parlimen Rembau di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi, di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, Perdana Menteri Thailand menyuarakan rasa kesal susulan kejadian itu yang menyebabkan empat anggotanya cedera, termasuk seorang yang parah selepas terpijak periuk api ketika menjalankan rondaan.
Beliau berkata, Malaysia kini sedang berusaha untuk mempertemukan semula kedua-dua pihak bagi meneruskan rundingan damai dan memulihkan kepercayaan yang terjejas.
“Perdana Menteri Kemboja telah menghantar surat melalui kedutaan kepada Perdana Menteri untuk memohon agar Malaysia segera menjadi tuan rumah rundingan. Kedua-dua negara setuju jika perbincangan diadakan di Kuala Lumpur,” katanya.-KOSMO! ONLINE














