BINTANG Negeri Sembilan, Luqman Hakim Shamsudin tidak boleh sekadar menjadi ‘penumpang’ dalam skuad kebangsaan dan wajar memanfaatkan peluang diberikan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski sebaik mungkin.
Walaupun kehadirannya sekadar menggantikan Jordan Mintah, Luqman tidak boleh ada sikap terlalu merendah diri sebaliknya kena mencuba untuk mencabar kedudukannya bersama pemain regular yang sering dipanggil Cklamovski.
Pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Husin merasakan keputusan Cklamovski memanggil Luqman dilihat sebagai langkah permulaan buat bekas pemain KV Kortrijk itu kembali di pentas tertinggi.
“Saya tidak tahu apa perancangan Peter, tetapi jika Luqman mampu tunjukkan prestasi baik ketika latihan, mungkin akan membuka mata untuk dia diberikan ruang, tidak kisahlah berapa minit. Ini penting untuk nyatakan kehadiran dia bukan sekadar pengganti, tetapi pengganti yang boleh diharapkan.
“Secara peribadi, prestasi dia di Negeri Sembilan belum cukup, tetapi mungkin ini rezekinya. Jadi, dia kena gunakan peluang ini sebaik mungkin, bukan sekadar pelengkap senarai.
“Buktikan (pengalamannya) ke sana ke sini sebelum ini adalah berbaloi. Ini langkah permulaan buat Luqman ke peringkat lagi tinggi dan saya ucapkan selamat maju jaya buatnya,” katanya.
Luqman dipanggil bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mintah yang mengalami masalah kesihatan ketika Harimau Malaya kini dalam persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Selasa depan.














